Assalamualaikum,
Bayangkan sebuah rumah yang masih terpacak kayu-kayu bagi menampung pembinaan rumah, mengekalkan bentuk. Rumah yang bila berjalan di dalamnya, terasa gegarannya. Rumah yang masih dipenuhi debu, dan hanya bersimen kasar. Pintu, tingkap masih belum siap dipasang. Pendek kata, rumah yang masih belum siap sepenuhnya.
Siapa yang sanggup tinggal di rumah begitu?
Pasti ramai yang tidak sanggup.
Untuk siapkan sebuah rumah pemaju perlukan satu tempoh masa. Selepas siap, perlu mendapatkan kelulusan pula untuk memastikan rumah yang dibina selamat didiami.
eh, kenapa cerita tentang rumah pula ye?
Ramai yang tak sedar, terlampau ingin memasuki fasa Baitul Muslim. Tapi persediaan belum siap lagi sebenarnya. Masih seperti rumah yang belum siap dibina. Belum kukuh.
Memang kita tak akan siap sepenuhnya. Tapi, biarlah rumahnya siap dahulu, kita tinggal menghiasnya. Bukankah lebih menarik dan molek begitu?
Persiapkan diri kita dengan pengurusan masa yang sebaiknya. Kalau sekarang, sibuknya sehingga tiada masa dengan Tuhan, macam mana kita dapat pastikan setelah berkahwin nanti kita akan punya lebih banyak masa. Bukankah nanti lebih banyak tanggungjawab menanti?
Jangan hanya mahu si lelaki yang siapkan rumah, dan kita hanya masuk sahaja. Sekalipun rumah telah siap dibina si lelaki, kita ni mungkin jadi si perosak yang merosakkan pembinaannya. Sebabnya? Kita tak turut sama dalam pembinaan, tidak mengerti setiap fungsinya. Mungkin sahaja banyak benda tidak dapat digunakan dengan layaknya.
Bila rumah dibina bersama, lebih terasa tanggungjawabnya pada rumah yang dibina. Nanti, tanggungjawab menghias isi rumah pun akan dikongsi bersama.
Perkahwinan tu bukan untuk mencari iman, tapi meningkatkan iman.
Perkahwinan tu bukan untuk mencari takwa, tapi meningkatkan takwa.
Yuk, siapkan pembinaan.
Moga, Allah memberkati setiap perjuangan.
Amiin.